Jeffrey Kitingan: Borneo Harus Menerima 50% dari Belanjawan 2016


  • Sabah tidak menerima apa-apa peruntukan dalam Belanjawan 2015 sementara negeri-negeri lain di semenanjung menerima RM50.5 billion masing-masing
  • Sabah dan Sarawak wajar menerima setengah daripada peruntukan dalam Belanjawan 2016

Kota Kinabalu: Jeffrey Kitingan menggesa Perdana Menteri, Najib Tun Razak, untuk menunjukkan komitmen dan mengotakan janjinya kepada Sabah dan Sarawak melalui Belanjawan 2016, dipetik oleh FMT.

“Tidak ada peruntukan kepada Sabah dan Sarawak di bawah Belanjawan 2015, sementara negeri-negeri lain di semenanjung akan menerima RM 50.5 billion masing-masing”

“Selain itu, Sabah sendiri akan membayar sebanyak RM 1.5 billion melalui GST tahun ini saja. Cukai ini seharusnya dibatalkan sementara waktu kerana Sabah dan Sarawak masih ketinggalan dari segi pembangunan,” katanya.

Wakil Rakyat Bingkor itu juga mengingatkan ikrar Najib di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020) bahawa Kota Kinabalu dan Kuching akan menjadi pusat pembangunan.

“Oleh kerana Sabah dan Sarawak tidak mendapat apa-apa dalam Belanjawan 2015, setengah daripada peruntukan dalam Belanjawan 2016 harus diberikan kepada kedua-dua negeri ini yang dianggap Barisan Nasional (BN) sebagai simpanan tetap mereka,” tegasnya.

Beliau juga menambah bahawa peruntukan kepada Sabah dan Sarawak dibawah Belanjawan 2016 adalah berbeza dengan pemberian Autonomi penuh yang diminta oleh Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem. Ia juga tidak sama dengan hasil 40% (revenue) yang perlu dibayar oleh Kerajaan Persekutuan.

“Peruntukan berasingan juga harus diberikan kepada bidang pendidikan yang telah diberikan lampu hijau oleh Najib sebelum ini. Ia dilihat sebagai usaha awal untuk mengembalikan kuasa autonomi penuh kepada Sabah dan Sarawak.”

“Sekiranya Sabah dan Sarawak terus dinafikan dana dan peruntukan di bawah Belanjawan Negara, maka BN tidak harus bermimpi untuk terus menjadikan negeri-negeri ini sebagai simpanan tetap untuk selama-lamanya,”

Jeffrey, aktivis lantang Borneo itu juga berkata Najib masih terus menjadi Perdana Menteri kerana sokongan 47 orang Ahli Perlimen (MP) dari Sabah dan Sarawak.

“Sepuluh lagi Ahli Perlimen dari Sabah dan Sarawak adalah dari pihak pembangkang.”

Jeffrey menggariskan beberapa cadangan sekiranya kedua-dua negeri Borneo ini diberikan peruntukan setengah daripada Belanjawan 2016.

Antara lain, beliau bercadang bahawa dana tersebut boleh digunakan untuk tujuan-tujuan berikut: RM2.5 billion untuk Fasa 1 dalam Sistem Monorail Kota Kinabalu; RM1 billion untuk membaik pulih 600 lereng jalan raya yang tidak diselenggarakan sejak 2009; RM2 billion untuk pembaikan jalan-jalan raya; RM700 juta untuk menaik taraf 62 buah jambatan; dan RM900 juta untuk enam lintasan jejantas di Kota Kinabalu.

Jeffrey juga membangkitkan mengenai jumlah RM1 billion yang dijanjikan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan pada Februari tahun lepas untuk membaik-pulih lebih 600 sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak.

“Sejak itu, tidak ada satu pun sekolah yang dibaik pulih kerana tidak ada dana yang dikelaurkan oleh Kementerian Pendidikan seperti yang dijanjikan oleh Muhyiddin,” tegas Jeffrey.

– Bobohizan Press via FMT.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *