Siapa Sebenarnya Dalang yang “Menolak Melayu ke Dinding”?

1. Kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid sekali lagi menimbulkan rasa muak dan menyampah di kalangan rakyat berbilang bangsa di negara ini apabila berkata bahawa perhimpunan perkauman berbaju merah lahir daripada perasaan bangsa Melayu yang merasa “ditolak ke dinding”. Persoalannya siapa sebenarnya dalang yang menolak Melayu ke dinding?

2. Mahdzir yang pernah berkhidmat sebagai pengetua di SMK Gadong, Beaufort pada tahun 1990 itu juga berkata “menolak Najib juga bermakna menolak Melayu” merujuk kepada perhimpunan Bersih 4 yang antara lain menuntut agar Najib meletak jawatan.

3. Adakah benar bangsa Melayu merasa “ditolak ke dinding”? Adakah Najib itu sudah menjadi sultan yang tidak boleh dikritik dan dipertikaikan walaupun gagal menguruskan amanah rakyat terutama sekali kepercayaan yang diberi oleh bangsa Melayu sendiri?

4. Yang menolak Melayu ke dinding bukanlah perhimpunan Bersih 4, tetapi hakikatnya ia didalangi oleh sesetengah pemimpin UMNO yang memperalatkan bangsa Melayu sebagai tunggangan politik untuk kepentingan dan kelansungan cara hidup yang terkutuk.

5. Bukan bangsa Cina yang menolak Melayu ke dinding, sebaliknya ia dilakukan oleh musuh dalam selimut yang mengkhianati bangsa Melayu sendiri dan sanggup menyemarakkan api-api perkauman untuk terus menagih sokongan yang kian luntur.

6. Siapa yang memperalatkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang ditubuhkan pada tahun 1965 untuk membela nasib Melayu dalam skandal berjuta-juta ringgit melibatkan pembelian apartmen lima tingkat di Australia? Adakah mereka ini orang Cina? Umum mengetahui bahawa tiga dalang tersebut adalah orang Melayu sendiri yang berani menggelapkan wang kerajaan bernilai A$4.74 juta untuk dimasukkan ke dalam poket masing-masing.

7. Siapa pula yang memperalatkan Tabung Haji untuk membayar wang berjumlah RM188.5 juta kepada 1MDB bagi sebidang tanah yang sebelumnya dibeli dari kerajaan dengan harga RM4.15 juta? Duit dana Tabung Haji, seperti yang umum ketahui, adalah amanah rakyat yang beragama Islam kepada badan ini. Wang tersebut milik pencarum (rakyat) tetapi digunakan oleh serigala bertopengkan kambing biri-biri untuk mengkhianati amanah bangsa dan agama sendiri. Adakah ini juga salah orang Cina?

8. Di dalam kabinet, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri adalah orang Melayu. 22 daripada 35 jawatan menteri dipegang oleh orang Melayu. Yang di-Pertuan Agung, Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Pemimpin Tertinggi Angkatan Tentera, Gabenor Bank Negara semuanya orang-orang Melayu belaka.

9. Hakikatnya, yang menolak Melayu ke dinding bukanlah perhimpunan Bersih 4 atau bangsa-bangsa lain tetapi didalangi oleh pemimpin Melayu di dalam UMNO sendiri. Sentimen bangsa Melayu diapi-apikan untuk kepentingan pengkhianat negara ini untuk kelangsungan politik masing-masing. Mereka inilah yang sebenarnya menolak Melayu ke dinding tetapi berani menuduh dan mempersalahkan bangsa-bangsa lain.

10. Najib sendiri berkata bahawa “Melayu akan terbangsat sekiranya tidak menyokong UMNO”. Yang sebenarnya akan membangsatkan negara ini, baik bangsa Melayu mahupun bangsa Cina, India, dan bumiputera Sabah dan Sarawak adalah dalang-dalang ini yang merupakan duri dalam daging yang harus dicabut.

11. Merekalah yang menolak bukan sahaja bangsa Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia ke dinding.

– Bobohizan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *