Rasuah dan Salah-guna Kuasa: Khir Toyo Tidak Harus Dimaafkan

1. Khir Toyo, selaku bekas Menteri Besar Selangor yang dijatuhi hukuman penjara 12-bulan oleh Mahkamah Persekutuan kerana didapati bersalah terlibat dalam kegiatan rasuah jual beli hartanah seharusnya akur dan malu untuk meminta pengampunan dari Agung.

2. Dr Mohamad Khir Toyo sebelum ini dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2011 dan hukuman itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 30 Mei 2013. Panel Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman tersebut walaupun Khir Toyo, memohon untuk hukuman diringankan dan bersedia untuk memberikan khidmat pergigian secara percuma.

3. Selepas hukuman tersebut, peguam beliau menyatakan kemungkinan untuk memohon pengampunan dari Agung.

4. Sebagai pemimpin yang diberikan amanah oleh rakyat, Khir Toyo seharusnya akur, malu dan menerima hukuman tersebut. Beliau telah lalai menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat dan telah menyalah-gunakan kuasanya selaku Menteri Besar Selangor, untuk mengaut keuntungan dan hidup mewah di kala rakyat negara ini bermandikan peluh dan darah untuk mencari sesuap nasi.

5. Hukuman penjara setahun tersebut malah amatlah ringan berbanding dengan kesalahan rakyat yang terhimpit dengan kesusahan. Pencuri enam tin Sardin dan tiga paket Milo menyebabkan seorang buruh yang bergelumang dengan keperitan hidup, dipenjara 2 tahun di Kelantan. Seorang lagi penganggur berdepan dengan hukuman 10 tahun penjara kerana mencuri 2 keping wang kertas RM1 dari tabung Masjid Muhammadi di Kelantan.

6. Khir Toyo pula mencuri berjuta-juta ringgit untuk hidup mewah di istananya dan hanya dijatuhkan hukuman 1 tahun penjara. Beliau tidak seharusnya dimaafkan dan harus menerima hukuman tersebut. Beliau seharusnya dijadikan teladan kepada ramai lagi pencuri dan perasuah di dalam Umno yang masih bebas.

7. Khir Toyo: Pencuri tetap pencuri, seganlah dan terimalah hukuman anda. Sebelum merasuah tidak pula anda berasa malu.

– Bobohizan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *