Pope Francis: Pemimpin Sederhana yang Radikal dalam Isu-Isu Sejagat

POPE FRANCIS, pemimpin agung penganut Kristian dan Ketua Gereja Katolik dilihat sebagai berwatak sederhana tetapi radikal dalam isu-isu kemanusiaan sejagat. Beliau merupakan susuk yang menyokong transformasi gereja dan memberi tumpuan agar penganut Katolik yang berjumlah 1.214 billion (17.5% dari populasi dunia) kembali kepada ajaran Kristian yang sebenar.

Semasa lawatan ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, beliau malah diberi sokongan oleh ahli kongres, Adam Schiff untuk memenangi Hadiah Keamanan Nobel atas dedikasi beliau memerangi kemiskinan dan pendekatan yang lembut dalam menangani isu-isu yang kemanusiaan.

Kesihatan yang semakin Merosot

Cabaran yang dihadapi oleh Pope Francis amatlah berat dari segi fizikal dan kesihatan. Beliau yang menjangkau umur 78 tahun pernah menjalani pembedahan ketika beliau masih muda dan menyebabkan sebelah daripada paru-parunya dibuang. Beliau pernah membayangkan bahawa beliau hanya akan memegang tampuk kuasa sebagai pemimpin gereja Katolik untuk jangka masa yang singkat.

“Empat atau lima tahun,” katanya kepada pemberita “Mungkin hanya dua atau tiga,”

Sungguhpun berhadapan dengan usia yang semakin lanjut, beliau tetap komited dengan tanggungjawabnya sebagai pendakwah dan pemimpin Gereja terbesar di dunia itu dan mengembara ke setiap pelosok dunia seperti di Albania, Bosnia, Ecuador, Filipina, dan Bolivia.

Bulan depan beliau dijangka akan melawat Kenya, Uganda, dan Republik Afrika Tengah. Beliau memberi istilah negara-negara ini sebagai “negara terpinggir” – negara-negara yang selalu diabaikan oleh pemimpin-pemimpin dari negara-negara maju dan kaya.

Pope Francis

Mendamaikan negara-negara Bermusuhan

Pada bulan September lepas, beliau menghabiskan lapan hari melawat negara Cuba dan Amerika Syarikat. Lawatan di kedua-dua negara yang bermusuhan ini membawa makna yang cukup besar.

Sebagai anak jati dari Argentina, tempat kelahiran Che Guevara, Pope Francis cukup faham akan impak kapitalisme Amerika Syarikat ke atas Amerika Latin dan ideologi Sosialisme yang didokong di Cuba. Pertembugan kedua-dua ideology ini diibaratkan seperti air dan minyak.

Pope Francis dilihat berjaya mengendurkan pertelingkahan antara dua negara dan ideologi. Malah Presiden AS, Barack Obama mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana menggunakan pengaruhnnya untuk membawa kedua-dua negara ke meja muafakat. Semasa kedatangan Pope Francis ke Havana, Cuba, suasana sambutan dan kegembiraan jelas cukup meriah. Jeritan “Yesus hidup!” bergema di jalan-jalan dan memberi impak yang cukup mendalam kepada penduduk Cuba yang diperintah di bawah rejim komunis. Pastinya tidak ada sesiapa yang boleh memandang rendah kepada kuasa ketakwaan dan popularity Francis dalam mengubah suasana yang kelam di negara tersebut.

Pope Francis
Kunjungan Pope Francis di White House disambut oleh Presiden AS, Barack Obama

Pope Francis: Authoriti Moral

Di Amerika, walaupun melawat bandar-bandar besar seperti Washington, New York dan Philadelphia, Pope Francis tetap mengunjungi kawasan terpinggir. Beliau tetap meluangkan masa melawat golongan yang terbiar dan gelandangan di Washington, mengunjungi budak-budak sekolah di Harlem, New York dan melawat banduan di Philadelphia. Dalam kunjugannya, beliau sempat berhenti dan mencium serta memberkati seorang kanak-kanak kurang upaya berumur 10-tahun.

Di kongress di Amerika, beliau memberikan ucapan mengenai memelihara nyawa, baik di dalam kandungan mahupun bagi mereka yang dijatuhkan hukuman mati. Beliau juga menyentuh mengenai isu pembasmian kemiskinan dan melindungi alam sekitar. Sungguhpun begitu, sesetengah rakyat konservatif Amerika kurang senang dengan perbuatannya dan berkata Pope Francis harus menjauhkan diri dari kancah politik.

Pope Francis speaks at St. Peter's Basilica on Friday. On the second anniversary of his election, Francis said his pontificate will be short, perhaps less than five years.
Pope Francis berucap di St. Peter’s Basilica. Pada tahun kedua perlantikan beliau sebagai pemimpin Gereja katolik beliau berkata bahawa tidak akan memegang jawatan tersebut untuk tempoh lebih daripada lima tahun kerana masalah kesihatan.

Tetapi adalah jelas bahawa agama Kristian itu sendiri tidak mempunyai batas-batas tertentu dalam isu-isu sejagat kemanusiaan kerana ia merangkumi seluruh aspek kehidupan, seperti juga agama-agama lain. Malahan apa yang keluar dari mulut pemimpin agama tersebut membawa kuasa moral yang mendalam.

John Boehner, jurucakap pihak Republikan Amerika cukup terkesan dengan emosi semasa perjumpaan dengan Ketua Gereja Katolik itu. Boehner berkata Pope Francis meletakkan tangannya ke bahu beliau dan berkata: “Sembahyanglah untuk saya“. Perjumpaan dengan Francis memberi kesan mendalam kepada Boehner dan menganggap perjuangan seumur hidupnya di dalam kongress Amerika sudah selesai dan tamat. Beliau meletak jawatan keesokan harinya.

Cerita tersebut menggambarkan kebolehan pemimpin agama tersebut untuk mendasari dan menyentuh hati nurani mereka yang dilanda pelbagai kemelut. Beliau mampu menggapai setiap umat walaupun berbeza fahaman politik dan ideologi. Umum mengetahui sesiapa sahaja yang berjumpa dan bersemuka dengan beliau akan tergerak hati dengan kesederhanaan yang ditunjukkan.

pope-thumb-011715

Pengkritik

Sungguhpun begitu, beliau tetap mempunyai pengkritik tersendiri. Ramai golongan konservatif politik dan agama yang melihat beliau sebagai terlalu lurus dan naïf.

Realitinya beliau adalah 100 peratus orthodoks dari segi theologi. Beliau adalah penganut agama Katolik yang sedar bahawa gereja yang berusia 2000 tahun itu mempunyai banyak cacat-cela dan memerlukan perubahan dan reformasi.

Reputasi gereja Katolik telah sekian lama dirobek oleh beberapa skandal melibatkan pencabulan kanak-kanak. Karenah birokrasi dalaman gereja adalah cukup payah dikemudi dan sudah hampir hilang kesinambungan. Terdapat juga pandangan bahawa pihak gereja lebih menumpukan usaha dalam mempertahankan theologi Kristian – perbicaraan mengenai seks dan dosa – bukannya menyebarluaskan Injil dan cinta Kristus. Dalam keadaan ini, Pope Francis dilihat cuba memberi nafas baru dalam gereja – membawa agama kepada pengertian yang lebih praktikal sehari-hari.

Ini juga bermaksud membawa utusan perdamaian antara negara-negara yang bermusuhan. Ia juga bermaksud membasmi kemiskinan melalui material dan badan-badan amal spiritual.

Suata kisah luar biasa berlaku semasa kunjugan ke Filipina apabila beliau berjumpa dengan seorang budak gelandangan perempuan berumur 12-tahun yang rebah dalam tangisan sambil bertanya mengapa Tuhan membenarkan sesetengah orang dijual untuk dijadikan hamba seks.

Pope Francis memeluk budak tersebut sambil mengucapkan terima kasih kerana kejujurannya yang amat memberi kesan.

Detik itu menyentuh hati penganut Katolik yang melihat agama Kristian tidak seharusnya mempunyai sempadan. Ia juga merupakan simbol belas kasihan yang selalu dititikberatkan oleh Pope Francis.

Legasi Pope Francis

Pope Francis sebelum ini mengumumkan bahawa paderi biasa akan dibenarkan mendengar dan mengampunkan dosa wanita-wanita yang berdosa menggugurkan kandungan – sesuatu yang sebelum ini hanya boleh dilakukan oleh Bishop.

Tindakan ini menunjukkan toleransi gereja terhadap sesuatu yang masih dianggap sebagai kesalahan besar. Ia juga dilihat sebagai jalan praktikal untuk penganut Kristian kembali ke pangkuan agama mereka.

Akhirnya, kejujuran dan keterbukaan beliau mungkin merupakan antara sebab mengapa Pope Francis mampu menggapai ramai umat dan mencuri tumpuan dan imaginasi. Beliau melihat dirinya sebagai hamba kepada Tuhan dan akan mengerah kudrat untuk memberi nafas baru dalam agama Kristian.

“Hidup terserah kepada Tuhan,” katanya kepada umat Kristian di Argentina.

– Bobohizan Press.

Pope Francis

Tell Us What you Think

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *