Rakyat Sabah di Sempadan Terpaksa Berulang-alik ke luar Negara untuk mengikuti Perkembangan Sarawak Report

Putrajaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini mengambil langah mendadak dengan menghalang aksess ke laman Sarawak Report yang dilihat melanggar undang-undang ke-tata-susila-an negara.

Sarawak Report, sebuah laman web pembocor maklumat kini tidak boleh lagi diaksess dari negara ini, walaupun ia masih boleh diaksess oleh warga Malaysia yang berada di luar negara.

Berikutan ini, rakyat Malaysia yang berada di sempadan Brunei, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina dikatakan sedang giat berulang-alik merentas sempadan untuk tidak melepaskan peluang untuk megikuti perkembangan dari laman tersebut.

Ahmad Banjari, 52, dari Lawas terpaksa berulang-alik ke Piasau-Piasau di Brunei semata-mata untuk tidak ketinggalan daripada mendapatkan kemaskini terbaru dari laman tersebut. “Ini sudah inda’ bisai ini!” Katanya dalam loghat Kedayan. “Apa kian masalahnya menutup laman ya? Bukankah kitani yang lelah berulang-alik ke Brunei setiap hari?” Soalnya dengan nada kecewa.

Beliau berharap agar kerajaan mempertimbangkan semula langkah tersebut sebelum ia menjadi beban kepada dirinya. Walau bagaimanapun, Ahmad berikrar untuk terus berulang-alik ke Brunei untuk mengetahui perkembangan terbaru dari laman tersebut. “Biar bejalan kaki ke Piasau-Piasau nun, aku tetap sanggup!” tegasnya.

Tinjauan di persekitaran Pulau Gaya, Kota Kinabalu juga menampakkan situasi yang agak sama. Pulau Gaya yang kini merupakan sebahagian daripada wilayah Filipina di Sabah, turut dibanjiri dengan rakyat Malaysia yang ingin mengetahui perkembangan dari laman tersebut.

Johari Samsuri, seorang warga Filipina berumur 36 tahun yang mengendalikan perkhidmatan bot laju berkata bahawa perkhidmatan bot laju dari pelabuhan Kota Kinabalu kini cukup laris kerana dibanjiri dengan rakyat Malaysia yang berpusu-pusu ingin ke Pulau Gaya. Beliau kini terpaksa bekerja 24-jam untuk memberikan perkhidmatan tersebut.

“Cukup lah menyusahkan kami, tidak tidur kami dibuatnya kerana terlalu ramai orang yang ingin datang ke negara kami sejak baru-baru ini” katanya.

BE NEWS

Tell Us What you Think

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *