22 Pendatang Asing Filipina Dipenjara Menggunakan Kad Pengenalan Palsu

KUANTAN: Seramai 22 warga Filipina berbangsa Sulu dihukum penjara empat bulan oleh tiga Mahkamah Majistret berasingan di Kuantan hari ini, setelah mengaku salah atas tuduhan menggunakan kad pengenalan palsu dan kepunyaan orang lain.

Kesemua mereka yang terdiri daripada 14 lelaki dan lapan wanita, berusia 15 hingga 69 tahun, diarah menjalani hukuman berkenaan bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu 30 September lalu.

 Empat belas daripada mereka didakwa atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu, manakala bakinya menghadapi tuduhan menggunakan kad pengenalan orang lain.

Di Mahkamah Majistret satu, Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap 10 tertuduh, manakala dua lagi tertuduh dijatuhkan hukuman yang sama oleh Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah di Mahkamah Majistret Khas Trafik di Kuantan.

Di Mahkamah Majistret dua, Majistret Noor Aisah Mohamed menasihati 10 tertuduh di hadapannya untuk tidak mengulangi kesilapan itu di masa hadapan kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai undang-undang.

“Jika kamu mahu bekerja di sini… mahu mencari rezeki di Malaysia, masuk secara betul. Jika begini sudah ditangkap, bukan sahaja tidak dapat membantu keluarga, malah kena pula penjara,” katanya.

Pendakwaan terhadap semua tertuduh dilakukan di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang boleh dihukum mengikut peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, semua mereka ditangkap dalam operasi bersepadu antara Jabatan Imigresen Pahang dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya di sekitar Balok di Kuantan pada 30 September lalu.

Kesemua mereka yang fasih bertutur Bahasa Melayu dalam dialek Sabah mengaku berasal daripada Pulau Sulu dan Zamboanga.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya Mohd Fazdlhy Abdul Razak, Mohd Ashgar Mohd Hussain dan Ibrahim Abdul Latif manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

– Bobohizan Press via Bernama and MalaysiaKini.

 

Tell Us What you Think

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *