Tebusan Dipancung : Musa Aman Wajar Letak Jawatan

KOTA KINABALU, 19 November 2015: Ketua Pemuda Ikatan PCS Nasional Sabah, Hasmin Azroy Abdullah mengecam sekeras-kerasnya tragedi pembunuhan keatas mendiang Benard Then, mangsa penculikan di sebuah Restauran Sandakan yang telah dilarikan ke sebuah Pulau sebelum dibunuh di Taran, Indanan Kepulauan Jolo Selatan Filipina pada jam 4 petang, 17 November 2015.

Dalam kenyataan rasminya, beliau berkata “Jika ada orang yang harus dipertanggungjawabkan, ia adalah Pengerusi Majlis Keselamatan Sabah yang juga merupakan Ketua Menteri iaitu Musa Aman. Beliau wajar meletakkan jawatan kerana gagal menjaga keselamatan di wilayah kita”. Beliau menambah lagi bahawa “Pesuruhjaya Polis Sabah wajar ditukar ke tempat lain. Begitu juga Pengarah Esscom. Mereka gagal menjalankan tugas dengan baik. Mereka tidak perlu beri apa-apa alasan. Gagal tetap gagal.”

Hasmin Azroy dalam kenyataannya juga mengingatkan kepada rakyat Sabah bahawa antara sebab utama Sabah bersetuju bergabung dalam Persekutuan Malaysia ialah kerana faktor keselamatan. Tetapi kini selepas lebih 50 tahun, soal keselamatan semakin menghantui rakyat Sabah. Persekutuan Malaysia gagal menjaga keselamatan Sabah. Beliau mengulas dengan lebih lanjut lagi dengan menyatakan kesedihan dalam perkara ini kerana kehadiran warga asing yang ramai di Sabah juga merupakan faktor yang mengancam keselamatan Sabah. Mereka ini boleh menjadi penculik dan pembunuh pada bila-bila masa kemudian lari kembali ke negara mereka dengan mudah.

Sejarah telah merekodkan bahawa Kerajaan Malaysia semasa era Tun Dr.Mahathir, telah memberikan latihan ketenteraan kepada pemberontak Selatan Filipina di daerah Tawau untuk menentang Kerajaan pusat Filipina pada sekitar tahun 1980an. Ketua Pemuda Ikatan PCS Nasional Sabah, Hasmin Azroy Abdullah menyatakan lagi bahawa Lebih buruk daripada itu salah seorang anggota kanan MNLF iaitu Hadji Acmad Bayam menyatakan dalam akhbar Filipina bahawa Malaysia pernah menyalurkan bantuan kepada pertubuhan itu yang kini akhirnya menjadi musuh keselamatan Sabah. Nampaknya senjata makan tuan. Sabah yang jadi mangsa.

Diakhir kenyataan beliau, ia menegaskan kepada semua rakyat Sabah bahawa sudah tiba masanya Sabah menentukan nasib sendiri. Persekutuan Malaysia hanya satu projek untuk menjustifikasi pengambilan hasil bumi Sabah. Sehingga kini aset keselamatan Sabah masih daif bahkan tidak cukup untuk mengawal keselamatan Sabah yang luas. Sabah ditipu dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Manakala Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem menyatakan perasaan simpati terhadap keluarga mangsa dan berjanji untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan melalui Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri yang juga merangkap sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia iaitu Ahmad Zaid Hamidi berhubung dengan isu pembunuhan rakyat Malaysia yang berasal dari negeri Sarawak.

Sebelum ini, Ahmad Zaid mengatakan tentang kejayaan dalam membebaskan seorang tebusan yang diculik yang bersama dengan mendiang Benard Then pada waktu itu tanpa melakukan sebarang pembayaran dan hanya melalui rundingan sahaja. Namun, ternyata kejayaan tersebut tidak berpanjangan apabila mangsa kedua penculikan tidak berjaya diselamatkan malah telah dibunuh dengan kejam kerana tiada pembayaran dilakukan.

Perdana Menteri Malaysia, Najib Tun Razak telah meminta Kerajaan Filipina untuk memburu penjenayah yang telah melakukan pembunuhan tersebut dan akan memberikan bantuan yang diperlukan.

Tell Us What you Think

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *