Mengapa Kerjasama Warisan-PH Harus disokong di Sabah

Blok politik paling berdaya saing

Dalam kancah politik semasa, matlamat utama pengundi baik di Sabah mahupun di seluruh negara adalah untuk menumbangkan kerajaan penindas BN-UMNO dan pemimpin kleptokratik Najib Tun Razak.

Ini adalah keutamaan nombor 1.

Dengan berpegang kepada matlamat dan objektif ini maka sebagai pengundi, adalah paling rasional untuk memilih blok politik yang mampu memberi tentangan sengit yang berkebolehan untuk merampas kerusi-kerusi yang dipegang oleh BN dan kuncu-kuncunya.

Blok Warisan-Pakatan Harapan dilihat bukan sahaja mempunyai sokongan mantap di kalangan rakyat marhaen di Sabah malah di seluruh negara. Blok ini juga dilihat mampu menumbangkan kerajaan BN-UMNO (giving them a run for their money) di peringkat nasional.

Berdasarkan kepada penelitian dan pemerhatian ini, maka adalah kurang rasional untuk berdiri dan menyokong parti-parti lain yang dilihat agak lemah dan kurang berdaya saing untuk menjatuhkan BN-UMNO.

Kenapa tidak memilih parti Gabungan Sabah (GS)?

Tidak dinafikan parti-parti politik tempatan seperti STAR (Jeffrey Kitingan), SAPP (Yong Teck Lee), HARAPAN (Lajim Hj. Ukin) juga mempunyai aspirasi sama iaitu untuk menjatuhkan kerajaan BN.

Namun persoalannya, sejauh manakah gabungan parti-parti ini mampu menumbangkan BN-UMNO di Sabah? Mampukah gabungan parti-parti ini menghalau BN-UMNO dari bumi Sabah tanpa kerjasama dengan parti-parti lain di peringkat nasional?

Jawapanya adalah tidak.

Merujuk kepada keputusan pilihanraya PRU13 pada tahun 2013, hanya Jeffrey Kitingan dan Lajim Ukin menang di kerusi-kerusi yang ditandingi. Calon-calon lain STAR dan SAPP gagal – malah Datuk Yong Teck Lee tidak memberi apa-apa saingan di kerusi N.14 Likas dan kalah teruk.

Melalui analisa keputusan pilihanraya PRU13 juga, STAR dilihat agak dominan di kawasan parlimen Keningau dan DUN Tambunan, Bingkor dan Sook – tetapi tidak di kawasan-kawasan lain. Ini menunjukkan sokongan kepada ketokohan Jeffrey Kitingan,  bukan disebabkan oleh sokongan kepada parti.

Lajim Hj. Ukin menang atas tiket PKR.

Mengambil kira pemerhatian dan analisa kasar ini, maka kita boleh merumuskan begini – parti-parti tempatan tidak akan berjaya menumbangkan kerajaan BN-UMNO tanpa kerjasama dengan parti-parti nasional (dalam senario politik hari ini)

Maka memilih GS tidak akan dapat merealisasikan matlamat utama kita iaitu untuk menjatuhkan kerajaan BN-UMNO.

Malah memilih GS dilihat akan memecah-belahkan undi pembangkang seterusnya memberi kelebihan kepada rejim BN-UMNO (divide and conquer policy). 

Sentimen Sabah for Sabahans

Sentimen Sabah untuk orang Sabah acapkali ditiupkan oleh nasionalis-nasionalis dari Sabah. Hakikatnya memang agak ramai penduduk Sabah yang berjuang atas faktor dan sentimen ini.

Tidak susah untuk memahami mengapa begitu ramai rakyat Sabah yang berpegang kuat kepada sentimen ini.

Rakyat Sabah dipinggirkan, dianak-tirikan, ditindas, dimanipulasi dan diperkudakan oleh pemimpin-pemimpin dari luar Sabah (baca Malaya) sejak sekian lama. Perjanjian pertubuhan Malaysia tidak dihormati malah secara sistematik cuba untuk dilupuskan. Kekayaan hasil bumi Sabah dirobek dan disita oleh kerajaan pusat.

Persoalannya, sejauh manakah penindasan dan kezaliman kerajaan pusat ini boleh berlaku tanpa ada tangan-tangan sokongan daripada pemimpin tempatan Sabah sendiri?

Benarkah pemimpin-pemimpin tempatan tidak terlibat dalam projek merosakkan Sabah sejak sekian lama? Bolehkah anda jamin bahawa semua pemimpin dari Sabah itu bersih dan beramanah?

Hakikatnya andai kata kita mempunyai pemimpin Sabah eksklusif dari parti-parti tempatan Sabah sekalipun, ia langsung tidak menjamin ketelusan dan integriti kerajaan (non-sequitur fallacy).

Oleh itu adalah agak kurang matang untuk berterus-terusan meniupkan sentimen ini seolah-olah hanya dengan pemimpin dari parti politik tempatan barulah kita boleh menuntut hak-hak kita. Pandangan ini agak kurang tepat dan tersasar.

Kita masih boleh memperjuangkan hak-hak kita, menuntut hasil bumi kita dan menuntut kuasa autonomi Sabah dengan bekerjasama dengan parti-parti nasional lain (rujuk Sarawak).

Warisan dan Pakatan Harapan

Parti Warisan dengan kesepakatan dengan Pakatan Harapan adalah satu-satunya blok politik yang bakal mengubah landskap politik di Sabah.

Hanya parti Warisan yang dilihat memahami hakikat bahawa Sabah secara bersendirian tidak mampu untuk menggulingkan kerajaan kuku besi BN-UMNO.

Kita masih perlukan sokongan dan bantuan dari rakan-rakan di peringkat nasional untuk menyelamatkan bumi Sabah daripada malapetaka dan bala yang dibawa oleh kerajaan kleptokratik BN-UMNO.

Kerana matlamat utama pilihanraya kali ini adalah untuk menjatuhkan kerajaan BN-UMNO, maka undi kepada Warisan-PH adalah undi paling rasional tanpa ada campur-baur dengan emosi dan persepsi yang tidak sihat.

Bobohizan – Sekadar memerhati. 

Tell Us What you Think

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *