Shafie Apdal, Ewon Ebin dan Gani Patail Antara Mangsa Poli-tikus Najib

Kuala Lumpur: Dua orang menteri dari Sabah digugurkan sementara peguam negara yang berasal daripada Lahad Datu, Gani Patail direhatkan dalam siri perkembangan terbaru politik negara.

Pengumuman rombakan kabinet secara langsung menerusi televisyen itu menyaksikan lima orang menteri digugurkan dan digantikan oleh tujuh muka baru.

Antara mangsa utama percaturan politik tersebut adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digantikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilihat mampu membawa sokongan kuat dari UMNO kepada barisan pimpinan Najib.

Sementara itu, Shafie Apdal yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah juga tidak terlepas daripada cengkaman politik kuku besi Najib.

Shafie dipercayai digugurkan susulan daripada kritikan pedasnya terhadap 1MDB dan skandal berkaitan dengan MARA. Bulan lepas, khabar angin bertiup kencang di mana Shafie dikatakan akan meletak jawatan sebagai protes kepada pengendalian isu 1MDB oleh Putrajaya, walaupun Shafie menafikan dakwaan tersebut.

Seorang lagi mangsa dari Sabah adalah Dr. Ewon Ebin yang memegang portfolio Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Beliau digantikan oleh presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau. Penguguran Shafie pula digantikan oleh speaker dewan undangan negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Dalam perkembangan berlainan, peguam negara Abdul Gani Patail juga direhatkan dan digantikan oleh bekas ketua hakim persekutuan, Mohamed Apandi Ali. Kenyataan rasmi kerajaan mengatakan bahawa Patail diberhentikan awal atas sebab-sebab “kesihatan”.

B.

Tell Us What you Think

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *