Kisah Misteri Manusia Berwajah Dua! Lagenda Edward Mordake

Kisah Edward Mordake merupakan antara kisah misteri yang berlaku pada lewat 1800-an. Mordake dikatakan adalah seorang pemuda agak tampan dari keturunan bangsawan dan menjadi pewaris salah satu keluarga yang paling berpengaruh di England. Ia digambarkan sebagai seorang pemuda yang menawan – seseorang yang berpendidikan tinggi, mempunyai bakat dalam bidang muzik dan pemuda yang memiliki banyak anugerah.

Namun, disebalik wajahnya yang tampan, atau lebih tepat lagi di belakang kepalanya, ada wajahnya yang kedua, yang cukup buruk dan jahat.

Dikatakan bahawa wajah kedua Mordake di belakang kepalanya akan merenung sesiapapun yang melihatnya sambil bibirnya bergerak-gerak tanpa henti walaupun tidak mengeluarkan sebarang suara. Menurut lagenda, ia akan tersenyum gembira di saat Mordake berada dalam keadaan sedih.

Meskipun tidak ada suara yang pernah terdengar dari bibirnya yang tipis, Edward bersumpah bahawa dia seringkali tidak dapat tidur kerana mendengar bisikan-bisikan kebencian ‘kembarnya yang jahat’ itu. Beliau cuba meminta doktor untuk membuang wajah keduanya namun tidak ada sesiapa yang berani menjalankan pembedahan yang berbahaya itu.

Mordake, walaupun dilimpahi dengan kekayaan dan bakat tersendiri, membunuh diri ketika umurnya baru mencecah 23 tahun. Sebelum membunuh diri, beliau meninggalkan surat wasiat yang meminta agar ‘wajah syaitan’ di belakang kepalanya dihancurkan sebelum beliau dikubur.

“Jangan biarkan ia mengganggu saya selama di dalam kubur seperti yang ia lakukan selama hidup saya,” menurut wasiatnya.

Kisah Mordake ditulis dalam buku lama pada tahun 1896 oleh George Gould, bertajuk Anomalies and Curiosities of Medicine. Ia menyebut:

“Salah satu daripada kisah ganjil dan penuh duka dalam sejarah kecacatan manusia adalah kisah Edward Mordake, dikatakan sebagai pewaris kepada keluarga bangsawan berpengaruh di England. Walaupun begitu, beliau tidak pernah menuntut gelaran tersebut dan membunuh diri pada umur 23 tahun. Beliau mengasingkan dirinya, menolak untuk dilawat walaupun oleh ahli keluarganya sendiri. Dia merupakan seorang pemuda yang mempunyai pencapaian cemerlang, seorang sarjana yang disegani, dan ahli muzik yang cukup berbakat. Dia mempunyai susuk tubuh sasa tersendiri dan wajahnya – iaitu wajah sebenarnya – agak tampan seperti lagenda Greek, Antinous. Tetapi dibelakang kepalanya, terdapat wajah lain yang cukup jahat. Ia akan tersenyum ketika Mordake menangis”

Sejauh manakah kebenaran cerita ini tidak dapat dipastikan. Sungguhpun begitu, Mordake dipercayai mempunyai sejenis kecacatan yand dinamakan “diprosopus“, sejenis kecacatan yang menyebabkan sebahagian daripada wajah bercabang dua.

Ia merupakan kecacatan yang amat jarang berlaku kepada manusia tetapi juga berlaku kepada spesis seperti kucing dan ayam. Mordake pastinya merupakan kisah yang benar, tetapi samaada wajah keduanya pernah memberi bisikan jahat kepadanya sehingga beliau membunuh diri tidak dapat dipastikan.

Tell Us What you Think

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *