Polis Sabah Mengaku Waran Tangkap Doris Jones Hanya Terpakai di Malaysia

Kota Kinabalu: Polis Sabah hari ini mengakui bahawa waran tangkap Doris Jones yang dikeluarkan 7 bulan lepas hanya boleh dikuatkuasakan di dalam negara ini. Waran ke atas pejuang pemisah Sabah yang bermastautin di UK itu hanya terpakai sekiranya beliau balik ke Malaysia, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

“Waran ini masih berkuatkuasa tetapi hanya di Malaysia. Kita akan mengambil tindakan sekiranya dia balik ke Malaysia” kata Jalaluddin.

Pada Februari tahun ini, Jalaluddin mengumumkan bahawa pihak polis telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Doris Yapp Kim Young, 45, dengan alamat terakhir di Labuan kerana bersalah berdasarkan kepada Akta Hasutan.

Jones dipercayai sebagai orang penting disebalik laman Facebook “Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM)” yang bertujuan untuk memberi kesedaran kepada hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak dalam Malaysia dan juga menggalakkan pemisahan negeri-negeri ini atas sebab-sebab manipulasi, ketidakadilan dan penindasan Semenanjung.

Jalaluddin sebelum ini berkata bahawa pihak polis akan meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menjejaki Jones tetapi dakwaan jenayah ke atas Jones tidak dilayan dan diiktiraf di Britain, dimana beliau dipercayai tinggal.

Kelmarin, waran tangkap serupa dikeluarkan oleh pengasas dan penyunting laman penyebar maklumat Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang dituduh menjalankan aktiviti yang “memudaratkan proses demokrasi berparlimen”.

Akses ke laman Sarawak Report dihalang di Malaysia bulan lepas kerana mengeluarkan artikel yang “mengancam kestabilan negara” selepas laporan Najib menerima jumlah RM 2.6 billion di dalam akaun peribadinya. Najib yang sebelumnya menafikan dakwaan tersebut, baru-baru ini berkata bahawa dana RM 2.6 billion tersebut merupakan derma ihsan.

Pihak peguam berkata bahawa waran tersebut adalah sia-sia kerana ia hanya terhad di Malaysia.

One thought on “Polis Sabah Mengaku Waran Tangkap Doris Jones Hanya Terpakai di Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *