Nazri Aziz: “Orang Gila Saja Tak Faham Kebaikan Ringgit Jatuh”

Kuala Lumpur: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengulangi kenyataan bahawa penurunan nilai Ringgit baik untuk pelancongan negara.

Katanya, ini adalah masa sesuai pelancong asing melabur wang di negara ini dan pelancong tempatan pula lebih memilih untuk melancong dalam negara.

“Penurunan mata wang Ringgit baik untuk pelancongan, pelancongan dalam negeri. Apabila wang kita lemah, adakah anda pergi ke London? Di mana anda membelanjakan wang anda?

“Anda akan membelanjakan wang anda di Port Dickson dan Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengisytiharan Warisan Kebangsaan kali keempat di Muzium Negara pada Selasa.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, hanya orang gila sahaja tidak akan memahami apa yang diperkatakannya.

“Hanya orang gila yang tidak memahami bahawa penurunan mata wang Ringgit membawa kebaikan kepada pelancongan,” katanya.

Kenyataan Nazri tersebut dilihat kurang bijak ketika negara berada diambang kucar-kacir politik yang dilihat menjadi punca kejatuhan nilai ringgit akibat ketidakpastian pelabur.

“Adalah agak janggal beliau mengatakan bahawa kejatuhan nilai matawang negara akan menarik pelancong asing untuk melabur di negara ini, kerana sebab utama kejatuhan tersebut adalah kerana semakin banyak pelabur asing yang lari meninggalkan Malaysia” kata seorang penganalisis ekonomi bebas.

Nilai ringgit terkini USD1 bersamaan dengan RM3.98 iaitu lebih teruk daripada ketika ia ditambat kepada dolar Amerika ketika negara mengalami krisis matawang pada tahun 1998.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *