Laman Web Kerajaan Malaysia Bakal Diserang oleh Penggodam Anonymous Malaysia

Share the spells

Kuala Lumpur: Pihak polis sedang menyiasat kumpulan yang bertanggungjawab membuat video ancaman untuk menggodam laman-laman web kerajaan Malaysia pada 29 Ogos, sebagai sokongan kepada perhimpunan Bersih 4.0.

Ketua Komunikasi Korporat Polis, Datin Asmawati Ahmad berkata bahawa pihak polis sedar akan ancaman tersebut dan sedang berusaha untuk “mencari dalangnya”.

Video selama 8 minit itu mula tersebar luas kelmarin yang mendakwa mewakili kumpulan ‘Anonymous Malaysia’. Individu dalam video tersebut memberi amaran bahawa penggodam-penggodam di Malaysia akan bersepakat untuk melancarkan perang cyber ke atas beberapa laman milik kerajaan pada 29 Ogos ini sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak meletak jawatan.

Dalam video tersebut, individu yang memakai topeng Guy Fawkes tersebut bercakap menggunakan program alih suara dan membangkitkan beberapa isu berkaitan dengan Najib, antaranya isu RM2.6 billion yang didermakan ke dalam akaun peribadinya, pembunuhan Altantuya Shariibu dan kaitannya dengan Rosmah Mansor, dan pemusnahan bukti siasatan akibat daripada terbakarnya pejabat di Bukit Aman.

Individu tersebut juga menamakan laman Perdana Menteri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan 1MDB sebagai sasaran.

Ia berkata bahawa seluruh dunia akan melihat “serangan terbesar dan paling bersejarah” pernah dilihat oleh internet Malaysia, sekiranya Najib tidak tunduk dan meletak jawatan secepat mungkin.

Kumpulan itu juga menyebut akan bekerjasama dengan kumpulan Anonymous International, Mercy Group dan rakyat Malaysia lainnya. Pada tahun 2012, majalah TIME menamakan Anonymous sebagai antara 100 individu/kumpulan yang paling berpengaruh di dunia.

Kali terakhir Anonymous Malaysia melancarkan serangan besar-besaran ke atas kerajaan Malaysia adalah pada 2011 selepas kerajaan menghalang beberapa laman perkongsian media seperti filestube, the piratebay, fileserve dan sebagainya.

Saksikan video tersebut di bawah:

Tell Us What you Think

While we appreciate and welcome healthy debates and personal opinions, we do not endorse comments with profanities, racism and inflammatory remarks.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *