Politik Keagamaan Semakin Menular di Sabah?

Kota Kinabalu: Kemasukan parti politik keagamaan di Sabah dilihat mula berakar dengan kejadian beberapa insiden seperti protes sebuah salib di sekolah mubaligh Kristian yang sebelum ini tidak pernah menjadi isu di kalangan masyarakat majmuk Sabah, kata para akademik di sini.

Menurut seorang pemerhati tempatan, kemunculan pertembungan budaya ini tidak dapat dielakkan ekoran daripada ciri-ciri politik berdasarkan bangsa dan agama yang diamalkan di Semenanjung Malaysia yang semakin meresap masuk di Sabah.

“Semuanya bermula dari atas. Apabila pemimpin politik membuat komen-komen tidak sensitif mengenai sesetengah bangsa dan kaum, rakyat yang di bawah juga akan turut terlibat. Dan apabila komen-komen perkauman seperti ini tidak dihukum, maka ia menjadi kebiasaan,” kata pensyarah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah, Paul Porodong kepada Malay Mail Online.

Porodong mengulas bahawa kegagalan untuk mengambil tindakan ke atas provokasi-provokasi anti bukan-Islam oleh kumpulan seperti Perkasa dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), dan juga individu-individu kontroversi seperti Ridhuan Tee Abdullah menyemarakkan lagi keadaan.

Ini ditambah lagi dengan sikap pihak berkuasa yang pilih kasih dan bertindak dengan pantas apabila provokasi berlaku ke atas umat Islam, kata Porodong, yang mengambil contoh blogger pelampau Alvin Tan yang diambil tindakan kerana menunjukkan poster Ramadhan berbuka puasa dengan Bak Kut Teh.

Bagi penganalisis politik Arnold Puyok, kebangkitan pergeseran ini timbul akibat daripada polisi-polisi dahulu dan sekarang.

“Ketegangan kaum kini semakin ketara kerana ia dibincangkan dengan lebih terbuka dan perdana menteri sekarang tidak mampu mengawal keadaan ini. Sebelum ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghalang terus setiap cubaan untuk membincangkan isu ini sebagai prinsip untuk melahirkan masyarakat majmuk yang harmoni,” kata Puyok.

Satu lagi penyebab adalah apabila agama Islam diangkat sebagai agama rasmi negeri ini pada tahun 1973, walaupun perkara pertama dalam perjanjian 20-perkara menyebut bahawa Sabah sepatutnya terus menjadi wilayah sekular. Sebagai perbandingan, Sarawak tidak mempunyai agama rasmi negeri seperti yang termaktub dalam perjanjian 18-perkara negeri itu.

Puyok juga berkata bahawa media sosial turut menyumbang kepada perbincangan dalam ketegangan kaum dan agama yang sebelum ini tidak pernah berlaku dalam generasi sebelumnya. “Ahli politik bukan sahaja menjadi semakin lantang di media sosial untuk meraih undi, tetapi sesiapa sahaja yang mempunyai keyboard boleh memberikan pendapat dan suara, yang boleh menyemarakkan sentiment ini,” kata Puyok.

Walaupun begitu, politik keagamaan tidak akan bertetap lama di Sabah. Puyok berkata penduduk asal negeri ini akan menentang habis-habisan usaha untuk menimbulkan perpecahan kaum berdasarkan agama. “Sikap tidak bertoleransi ini masih baru di Sabah, dan rata-rata masyarakat menolak sikap ini. Mentaliti ini tidak akan berubah dalam masa terdekat,” kata Porodong.

(Access the full news here)

Tell Us What you Think

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *