Rahman Dahlan: Bersih 4 Bakal Menghancurkan Ekonomi Negara

1. Rahman Dahlan baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa pehimpunan Bersih 4.0 yang akan dianjurkan pada 29 Ogos ini bakal menghancurkan ekonomi negara dan boleh mengakibatkan kehilangan berbilion-billion ringgit dan pekerjaan rakyat Malaysia.

2. Tiga perhimpunan Bersih sebelum ini pada tahun 2007, 2010 dan 2011 tidak pernah mengakibatkan kejatuhan nilai ringgit dan kehilangan pekerjaan penduduk kota raya.

3. Pada tahun 2011, nilai ringgit tetap kukuh berbanding dollar Amerika pada kadar lebih kurang 1 USD = RM 3.00. Kadar ini tidak banyak berubah dalam tempoh 4 tahun. Hari ini 1 USD = RM 4.24, yang terburuk dalam tempoh 17 tahun.

4. Adakah kejatuhan nilai matawang dan kemerosotan ekonomi negara ini disebabkan oleh perhimpunan seperti Bersih? Tidak kah Dahlan sedar bahawa antara punca kejatuhan nilai Ringgit adalah kerana pelabur asing semakin hilang keyakinan terhadap matawang ini, susulan daripada skandal 1MDB?

5. Bekas Menteri kewangan, Tun Daim Zainudin berkata bahawa kejatuhan nilai matawang Ringgit antara lain disebabkan oleh hutang 1MDB yang menyebabkan ketidakpastian dalam ekonomi domestik.

6. Sungguhpun terdapat faktor-faktor lain yang menyebabkan kejatuhan nilai matawang negara seperti kejatuhan harga minyak mentah (eksport utama Malaysia), kejatuhan terancang nilai Yuan China dan penaikan kadar faedah (interest rate) Dollar Amerika yang menyebabkan matawang greenback tersebut menjadi bertambah kukuh, namun perhimpunan Bersih tidak akan memberikan impak sebesar hutang 1MDB.

6. Mengapa sehingga ke hari ini Dahlan tidak menyoal pemimpin yang bertanggungjawab ke atas kemerosotan ekonomi negara? Mengapa Dahlan sehingga ke hari ini tidak putus-putus mempertahankan 1MDB yang bukan sahaja sarat dengan hutang tetapi juga dalang di sebalik kehancuran ekonomi negara?

7. Dahlan dalam tweetnya berkata: “Kita berdepan dengan krisis ekonomi global, dan agak jelas bahawa penganjur #Bersih tidak peduli tentang kepentingan kita sebagai rakyat Malaysia”

8. Sebenarnya yang tidak peduli tentang kepentingan rakyat Malaysia adalah Dahlan sendiri.

9. Masa depan anak-anak rakyat Malaysia bakal tergadai apabila menteri seperti ini lantang mempertahankan rasuah, ketirisan, dan korupsi. Teringat gambar jambatan gantung bambu di Kampung Melangkap di Kota Belud, kawasan Rahman Dahlan yang dilanda banjir baru-baru ini.

10. Bukankah lebih baik sekiranya beliau turun membantu rakyat Sabah dari Kota Belud yang dihimpit kemiskinan daripada mempersoalkan hak rakyat untuk menyuarakan bantahan terhadap kerajaan yang dianggap kuku besi?

– Bobohizan.

dahlan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *