Tebusan Abu Sayyaf dari Sandakan: Bayar atau Tidak?

Share the spells

1. Pada 14 Mei lepas dua orang rakyat Malaysia diculik oleh kumpulan pejuang Abu Sayyaf di Sandakan – pemilik restauran Ocean King Seafood ,Thien Nyuk Fun, 50 dan rakyat Malaysia dari Sarawak Bernard Then, 39.

2. Pihak penculik pejuang pemisah dari selatan Filipina itu menuntut wang tebusan sebanyak RM 30 juta untuk setiap seorang dari kerajaan Malaysia, tetapi kemudiannya bersetuju untuk menurunkan tuntutan kepada RM 15 juta setiap seorang.

3. Kejadian seumpama ini bukanlah yang pertama berlaku. Pada tahun 2000, hari ahad paska, 21 orang pelancong asing dan rakyat Sabah diculik dari pulau Sipadan.

4. Pada bulan Februari 2013, lebih 200 pengganas bersenjata yang mendakwa mewakili tentera Kesultanan Sulu menceroboh wilayah Sabah di Lahad Datu dan mengakibatkan lebih 10 rakyat Malaysia terbunuh. Selepas ancaman ini dipatahkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCOM) ditubuhkan untuk memantau keselamatan di pantai timur Sabah.

5. Namun, tidak banyak yang berubah dari segi keselamatan rakyat Sabah di situ.

6. Rakyat Sabah masih berhadapan dengan risiko penculikan oleh pengganas bersenjata dari Selatan Filipina. Kejadian penculikan dua rakyat Malaysia di Sandakan baru-baru ini bukanlah yang pertama, dan pastinya bukan yang terakhir.

7. Sebagai rakyat Sabah, kita berasa sedih dan turut bersimpati dengan mangsa penculikan dan ahli-ahli keluarga mereka. Sekiranya kita berada di tempat mereka, diculik dan diugut untuk dipancung sekiranya wang pampasan yang dituntut tidak dibayar, pastinya kita juga akan berharap bahawa kerajaan Malaysia akan membayar wang pampasan tersebut.

8. Persoalannya, adakah tindakan membayar wang pampasan berjuta-juta ringgit ini adalah tindakan bijak untuk jangkamasa panjang?

9. Sekiranya wang ini dibayar, bolehkah kerajaan dan pihak berkuasa menjamin bahawa kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi dan keselamatan rakyat Sabah di pantai timur selamat? Hakikatnya, tidak ada sesiapa yang boleh memberi jaminan tersebut.

10. Sekiranya, kerajaan Malaysia membayar wang tuntutan sebanyak RM 30 juta (US$ 7.15 juta), puak pengganas Abu Sayyaf boleh membeli lebih daripada 250 rifle M-16 (pada harga US$ 25,000 se unit), beratus-ratus unit sniper dan pelancar roket yang boleh digunakan untuk melancarkan perang yang lebih besar kepada negara Malaysia.

11. Pembayaran wang tuntutan ini juga dikhuatiri akan menyebabkan puak tidak berperikemanusiaan ini untuk terus cuba menculik rakyat Sabah bagi mendapatkan wang pampasan. Ia tidak akan berhenti sampai bila-bila kecuali kerajaan Malaysia melakukan sesuatu.

12. Di peringkat antarabangsa, Amerika Syarikat (AS), Britain dan Israel mempunyai polisi untuk tidak akan membayar wang pampasan bagi rakyatnya yang diculik. Walaupun penculikan masih berlaku, namun ia tidak pernah bertujuan untuk mendapatkan wang tebusan.

13. Terdapat juga negara yang tidak secara langsung membayar wang tuntutan seperti Perancis tetapi menyalurkan wang tersebut kepada majikan mangsa yang diculik untuk dibayar secara rahsia kepada penculik.

14. Sejak tahun 2008, Perancis telah menyalurkan lebih US$ 58 juta untuk menebus rakyatnya yang diculik iaitu yang terbanyak berbanding dengan negara-negara lain di dunia. Ini menyebabkan rakyat Perancis menjadi sasaran penculikan dan merupakan warga terbanyak yang diculik seluruh dunia.

15. Jerman juga mula menyoal polisinya untuk membayar wang tebusan. Pakar Keselamatan Jerman berkata, “Kita harus bertanya diri kita sendiri samaada kita boleh menerima fakta bahawa wang tebusan yang dibayar kepada penculik boleh digunakan untuk membeli senjata yang digunakan untuk membunuh lebih ramai perajurit-perajurit kita di Afghanistan.”

16. Nyawa manusia adalah tidak ternilai harganya. Diluah mati emak, ditelan mati bapa.

17. Apakah pendapat anda? Wajarkah wang pampasan RM 15 juta setiap seorang mangsa culik dibayar oleh kerajaan? Atau sudah tiba masanya untuk kita menghentikan polisi yang dilihat akan mengundang lebih banyak penculikan dan pembunuhan rakyat kita?

– Bobohizan.

 

abductionabusayyaf
Ahli keluarga memegang gambar Thien (kiri) dan Bernard Then yang diculik oleh kumpulan bersenjata Abu Sayyaf dari Ocean King Restaurant di Sandakan pada 14 Mei.

Tell Us What you Think

While we appreciate and welcome healthy debates and personal opinions, we do not endorse comments with profanities, racism and inflammatory remarks.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *