Jeffrey Kitingan: Perhimpunan Baju Merah Suatu Penghinaan terhadap Hari Malaysia

Bingkor: Jeffrey Kitingan menyifatkan perhimpunan baju merah sebagai suatu penghinaan kepada Hari Malaysia yang bakal disambut pada 16 September ini, menurut theantdaily.

Wakil rakyat dari Bingkor tersebut menempelak sikap pemimpin UMNO dan kerajaan persekutuan baru-baru ini dan mendakwa bahawa Hari Malaysia, 16 September seolah-olah tidak membawa apa-apa erti bagi mereka.

Dalam laporan di Free Malaysia Today, Jeffrey menyuarakan ketidakpuashatian beliau terhadap sikap pemimpin UMNO yang tidak menghalang ahli-ahli mereka untuk turut serta dalam perhimpunan berbaju merah di Kuala Lumpur pada Hari Malaysia.

“16 September 1963 adalah hari di mana North Borneo dan Sarawak menyertai Malaya dan Singapura dan seharusnya dihormati, diberi pengiktirafan dan dijulang,” katanya.

Beliau menggesa Perdana Menteri dan timbalanya untuk “memperbetulkan keutamaan mereka” dan memberi tumpuan kepada harapan dan pandangan rakyat.

Beliau memberi amaran kepada parti UMNO di semenanjung untuk tidak sama sekali menghasut ahli UMNO di Sabah untuk menyertai perhimpunan tersebut di Kuala Lumpur.

“Kita mahu mereka menghormati dan menyambut Hari Malaysia di Sabah, bukannya mengambil bahagian dalam perhimpunan anti-Cina di semenanjung. Bagaimana ahli UMNO Sabah hendak berhadapan dengan komuniti Cina di Sabah selepas mengambil bahagian dalam perhimpunan yang membantah mereka di Kuala Lumpur? Rakyat di Sabah dan Sarawak tidak termakan dengan isu-isu perkauman dan agama yang ditiupkan di semenanjung.”

Pasukan berbaju merah beranggapan bahawa mereka mempunyai hak untuk berhimpun, walaupun dikecam oleh pihak polis.

Sungguhpun ramai pihak termasuklah Jerffey tidak bersetuju dengan sikap perkauman melampau kumpulan tersebut dan memilih untuk berhimpun pada Hari Malaysia, mereka dijangka akan tetap meneruskan agenda yang telah dirancang.

Abdul Rahman Dahlan yang sebelum ini mengecam hebat perhimpunan Bersih 4 dan menyifatkan perhimpunan sedemikian bakal memudaratkan ekonomi negara pula terus membisu. Malahan beliau secara terang-terangan memberi sokongan terhadap perhimpunan tersebut sejurus selepas perhimpunan Bersih tamat.

Sementara itu, ketua veteran DAP, Lim Kit Siang menyifatkan Abdul Rahman Dahlan dan Salleh Said Keruak sebagai “rakyat Sabah yang tidak mempunyai jati diri” kerana tidak menghalang rancangan perhimpunan tersebut yang bakal mencemarkan Hari Malaysia.

Perhimpunan “berbaju merah” ataupun “Himpunan Rakyat Bersatu” tersebut dirancang sebagai bantahan kepada perhimpunan Bersih 4 bulan lepas yang antara lain menuntut perletakan jawatan Najib kerana skandal kewangan.

Penyokong berbaju merah merancang untuk berkumpul di Jalan Bukit Bintang untuk tempoh 12 jam, pada 16 September, iaitu ketika negara menyambut Hari Malaysia.

Perhimpunan tersebut yang padat dengan unsur-unsur perkauman menimbulkan kegusaran bahawa ia bakal mencetuskan ketegangan kaum.

– BP.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *