Autonomi Kepada Sabah: Mengapa Pemimpin Sabah Harus Bertindak Sekarang

Share the spells

1. Pada 16 September ini genaplah umur Sabah di dalam Malaysia selama 52 tahun.

2. Dalam tempoh ini, malangnya Sabah menjadi wilayah termiskin di Malaysia. Pada tahun 1970-an Sabah merupakan negeri kedua paling kaya di Malaysia dibelakang Selangor dan Kuala Lumpur, tetapi dalam tempoh kurang 40 tahun Sabah terus menjunam menduduki tempat tercorot di Malaysia. Keadaan daif jalan raya, keperluan asas penduduk seperti elektrik, air dan prasarana asas, sekolah-sekolah, dan kesihatan masih antara yang terburuk di Malaysia.

3. Perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) Sabah hanyalah pada 2.4% yang paling rendah di Malaysia. Pada tahun 2009, peratusan penduduk Sabah yang hidup di bawah US$1 sehari adalah pada kadar 20% iaitu 5 kali ganda lebih tinggi daripada negeri-negeri lain di Malaysia iaitu pada 4%.

4. Kemiskinan ini merupakan malapetaka yang datang bukan sahaja dari kerajaan pusat yang menjadikan Sabah sebagai tanah jajahan dan tidak berlaku adil dalam perkongsian kekayaan negara, tetapi juga datang dari pemimpin-pemimpin dan rakyat Sabah sendiri yang bertelingkah dan masing-masing berlaku khianat demi mengejar kekayaan dan jawatan penting dalam kerajaan. Yang menderita adalah rakyat Sabah. Yang kenyang perut senang hati adalah pemimpin-pemimpin korup yang semakin gemuk disuap wang milik rakyat.

5. Autonomi kepada Sabah yang lebih besar dan menyeluruh, dilihat sedikit sebanyak akan memberi kesan positif kepada keseluruhan rakyat negeri ini. Sungguhpun autonomi kepada Sabah sudah wujud dalam bidang-bidang kuasa seperti imigresen dan kehakiman, namun ianya tidak memadai.

6. Apabila berbicara mengenai autonomi, kebanyakan rakyat Sabah akan bangkit menyokong tetapi adakah kita benar-benar faham apakah yang dimaksudkan dengan perkataan autonomi? Apakah bentuk autonomi yang kita tuntut dan sejauh manakah kebebasan yang kita minta dari kerajaan persekutuan? Adakah kita menuntut autonomi politik seperti wilayah Mindanao di Filipina? Mengapa kita perlukan autonomi ini dan apakah jalan untuk mendapatkan autonomi ini?

7. Autonomi seharusnya dilihat sebagai konsep pentadbiran sendiri yang bebas dari pengaruh luar. Dalam konteks Malaysia, Autonomi yang diminta adalah pengurangan kuasa dan kebergantungan kita kepada Kerajaan Persekutuan dalam proses membuat keputusan dalam pentadbiran kita. Kita seharusnya berhak untuk membuat keputusan mengenai projek-projek pembangunan di Sabah, menentukan siapa yang layak memegang jawatan-jawatan penting, menentukan di mana kewangan kita disalurkan, menentukan kerakyatan kita dan lain-lain.

8. Musa Aman selaku Ketua Menteri Sabah sendiri sedar bahawa autonomi kepada Sabah dalam perkara seperti projek pembangunan luar bandar amat penting kerana proses penyaluran dana, birokrasi dan politik banyak menjejaskan projek-projek luar bandar yang dirancang, yang akhirnya menghalang pembangunan kepada rakyat Sabah.

9. Contoh ini merupakan antara sebab dan justifikasi mengapa pemimpin-pemimpin Sabah harus terus menerus menekan Kerajaan Persekutuan untuk memberi kebebasan dan autonomi kepada Sabah. Tuntutan kenaikan royalti minyak dan pembayaran balik minyak Sabah sebanyak berbillion ringgit oleh Anifah Aman dan Jeffrey Kitingan dilihat sebagai permulaan, namun ia tidak seharusnya berhenti di situ.

10. Ia harus dilakukan sekarang kerana Kerajaan Pusat pimpinan Najib dilihat semakin tenat dan memerlukan sokongan Sabah dan Sarawak untuk terus berkuasa. Tanpa sokongan dari pemimpin Sabah dan Sarawak, Kerajaan BN pimpinan Najib akan tumbang. Oleh itu tanpa mengira fahaman dan anutan politik, demi kesejahteraan dan nasib rakyat Sabah, semua pemimpin baik dari pihak pembangkang mahupun dari kalangan UMNO Sabah dan komponen parti BN seharusnya cuba melupakan sengketa politik sementara waktu dan bersatu menuntut hak kita.

11. Sebagai permulaan, sebuah jawatankuasa harus ditubuhkan untuk mengkaji apakah bidang-bidang kuasa yang dituntut dan sebab-sebab munasabah mengapa ia harus diberi oleh Kerajaan Persekutuan. Dewan Undangan Negeri harus digunakan sebagai madah untuk menyampaikan kehendak ini kepada Kuala Lumpur dan memainkan peranan penting untuk mendesak tuntutan ini. Rakyat dan pemimpin Sabah tidak akan rugi apa-apa.

12. Ia harus bermula sekarang. Najib dilihat akan tumbang pada usul undi tidak percaya di parlimen, jika tidak beliau berkemungkinan besar akan kalah dalam pilihanraya akan datang. Dalam keadaan Kerajaan Persekutuan yang lemah, pemimpin Sabah harus berani menekan dan rakyat Sabah harus terus-menerus meminta pemimpin masing-masing menyuarakan permintaan ini.

13. Sekiranya ini tidak dilaksanakan, Sabah akan terus terjerumus dalam genggaman kuasa kerajaan persekutuan. Kita akan selama-lamanya miskin, ketinggalan dan di anak tirikan. Governor British yang terakhir di Sabah, Sir William Goode pernah memberi amaran kepada Tunku Abdul Rahman sebelum Hari Malaysia: “Tunku harus mengelakkan daripada mengambil alih wilayah British di Borneo sebagai tanah jajahan. Sekiranya Malaya dilihat meneruskan penjajahan keatas Koloni British, ia akan mencetuskan pergerakan kemerdekaan dari Kuala Lumpur yang tidak dapat dielakkan” – seperti yang kita lihat sekarang dalam usaha SSKM.

14. Pemimpin Sabah: Berikan Hadiah Autonomi kepada Sabah yang lebih besar sempena Hari Malaysia 16 September ini.

– Bobohizan.

Tell Us What you Think

While we appreciate and welcome healthy debates and personal opinions, we do not endorse comments with profanities, racism and inflammatory remarks.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *