Perpecahan BN Sabah: Setiausaha LDP Keluar Parti Menyertai PKR


  • Setiausaha LDP, Loretto Padua Jr keluar parti menyertai PKR dan berikrar untuk berjuang memartabatkan Perjanjian 1963

Petaling Jaya, 15 Sept: Setiausaha umum PKR, Rafizi Ramli mengalu-alukan penyertaan Setiausaha Parti Liberal Demokratik (LDP), Loretto Padua Jr, yang mengumumkan keluar parti, seterusnya melambangkan perpecahan BN Sabah yang semakin ketara.

Bekas setiausaha LDP tersebut berkata bahawa beliau terpaksa menukar halatuju politiknya kerana sedar bahawa BN telah gagal memperbaiki status ekonomi penduduk Sabah.

“Saya berada di sini untuk berjuang bagi memartabatkan perjanjian 1963. Saya berterima kasih kepada PKR dan kepimpinannya kerana memberi peluang untuk sama-sama berjuang bersama mereka,” katanya ketika dipetik oleh The Malay Mail.

Loretto Padua Jr, 35, adalah seorang peguam dan merupakan bekas ketua bahagian LDP di Karambunai.

Beliau berkata bahawa perletakan jawatannya dari BN dan penyertaan kepada PKR kerana beliau kini sedar bahawa satu-satunya cara untuk menumbangkan BN adalah dengan menyertai gabungan politik yang lebih besar, seperti Pakatan Rakyat yang dilihat mampu memberikan tentangan sengit kepada parti pemerintah.

“Untuk berdekad-dekad lamanya Sabah sentiasa dipinggirkan kerana kita berada di bawah kuasa persekutuan. Itulah sebabnya mengapa rakyat Sabah harus bangkit dan berfikir secara rasional.

“Hanya parti gabungan yang kuat boleh menentang kekuatan BN,” katanya.

Pada pilihanraya Umum 2013, PKR buat pertama kalinya berjaya menawan kerusi Penampang di Sabah. Ia juga mendapat kelebihan politik apabila bekas menteri persekutuan BN, Datuk Seri Lajim Ukin menyertai parti tersebut. Beliau kini adalah Ketua PKR Sabah.

Duduk di sebelah beliau adalah Rafizi Ramli, yang berkata bahawa penyertaan Padua Jr sebagai kunci penting untuk menguatkan kempen pembangkang bagi memecahkah kubu kuat BN di Sabah yang dianggap sebagai “simpanan tetap”.

Rafizi berkata perletakan jawatan pemimpin BN untuk menyertai pakatan pembangkang membuktikan bahawa parti pemerintah berada dalam keadaan kucar-kacir.

Beliau juga berkata bahawa ini menunjukkan bahawa BN tidak lagi relevan dan tidak lagi berpegang kepada prinsip untuk membela nasib rakyat, dan pemimpin-pemimpin mereka lebih tertarik untuk mengejar jawatan dan kuasa.

“Dalam Keadilan, kita mengalu-alukan penyertaan beliau dan berkeyakinan bahawa ia akan membantu Keadilan untuk memenangi lebih banyak kerusi di kawasan Kadazan, Dusun dan Murut” kata Rafizi yang juga Wakil Perlimen Pandan.

Rafizi berkata terdapat 9 kerusi kalah tipis di Johor dan 8 di Sabah yang diharap dapat dimenangi oleh PKR pada pilihanraya umum akan datang.

“Terdapat perpecahan ketara dalam UMNO Sabah. Semua jawatan-jawatan tinggi di Kerajaan Pusat disandang oleh pemimpin dari Pantai Barat, sementara itu pemimpin dari Pantai Timur dipinggirkan.

Rafizi yang juga naib presiden PKR berkata, sekiranya bukan kerana pertandingan tiga penjuru atau lebih, pihak pembangkang boleh memenangi kerusi parlimen di Keningau, Kota Marudu, Pensiangan dan Ranau.

Beliau juga menjelaskan bahawa jumlah undi yang diperolehi oleh parti-parti pembangkang di kerusi-kerusi parliemen tersebut melebihi undi yang diperolehi oleh BN.

– BP.

Tell Us What you Think

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *