Perebutan Kuasa UMNO Sabah: Gerakan Menyingkirkan Musa Aman?

Kota Kinabalu: Terdapat desas-desus politik mengatakan bahawa sokongan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman semakin berkurangan di peringkat akar umbi. Khabar angin bertiup mengenai usaha beberapa pemimpin UMNO negeri untuk menyingkirkan Musa Aman sebagai presiden UMNO negeri dan juga Ketua Menteri Sabah.

Pada bulan April tahun ini, ketua bahagian Sepanggar, Idris Jumat disingkirkan dari UMNO kerana terang-terangan mengkritik Ketua Menteri Sabah itu secara terbuka.

Sejurus selepas penggantungan itu, Jumat menulis dalam Facebook beliau bahawa “tanpa demokrasi, parti akan menjadi lemah sekiranya ahli-ahli parti tidak dibenarkan untuk bersuara. Muhyiddin Yassin meminta Badawi untuk memberi jalan kepada Najib. Tidak ada tindakan disiplin yang diambil ke atas Muhyiddin.” katanya.

Difahamkan, Jumat merupakan seorang daripada lapan Ketua Bahagian UMNO Sabah yang bertemu dengan Perdana Menteri Najib Tun Razak pada 10 Julai 2014, dipercayai untuk mengganti Musa Aman Sebagai Ketua Menteri Sabah.

Selain Jumat, tujuh lagi ketua bahagian yang terlibat langsung dengan perbincangan dengan Najib adalah Bolkiah Ismail (Kudat), James Ratib (Beluran), Rubin Balang (Tenom), Ghani Yassin (Pensiangan), Sairin Karno (Keningau), John Ambrose (Penampang), dan Wetrom Bahanda (Kota Kinabalu).

Sumber dalaman menyatakan bahawa Musa Aman semakin kehilangan sokongan daripada pemimpin persekutuan dan negeri selepas dikaitkan dengan skandal berjuta-juta ringgit melibatkan jutawan kayu balak, Michael Chia yang dijatuhkan hukuman penjara dan sebat.

Dalam kes tersebut, Michael Chia dituduh menipu Datuk Agus Hassan sebanyak RM 2.5 juta yang dikatakan untuk disalurkan kepada dana politik UMNO Sabah.

Chia sebelum itu pernah memberitahu pihak berkuasa bahawa duit tersebut adalah untuk Musa Aman, yang menyebabkan siasatan penyaluran dana tersebut dari luar negara yang dipercayai berkait rapat dengan kegiatan penyucian duit (money laundering) dari aktiviti pembalakan haram di Sabah.

Chia juga pernah ditahan di Hong Kong kerana membawa wang berjumlah RM 40 juta dalam Dollar Singapura yang dipercayai untuk diberi kepada Musa Aman. Beliau akhirnya dibebaskan dari pertuduhan setelah SPRM mendapati bahawa bukti-bukti pertuduhan tidak mencukupi.

Sarawak Report pernah melaporkan bahawa dalam perasmian jambatan di Brunei pada December 2013, Najib Tun Razak telah berjumpa dengan Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman untuk meminta mereka meletak jawatan, dipercayai kerana kedua-dua ketua menteri ini bergelumang dengan skandal yang menjejaskan imej BN.

Taib Mahmud telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak dan menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Namun Musa Aman dilihat masih liat untuk meletakkan jawatan, kerana walaupun berjanji untuk melepaskan jawatan pada ketika itu, beliau tidak dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Sabah seperti yang beliau diharap-harapkan.

Uar-uar politik berkata bahawa Musa Aman telah membeli sebuah kereta Rolls Royce yang akan digunakannya apabila dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 31 December lepas, namun impiannya terkubur apabila Juhar Bin Mahirudin dikekalkan.

Sumber dalaman mengakatakan bahawa diseabakan oleh skandal pembalakan haram tersebut, Musa Aman semakin kehilangan sokongan.

Difahamkan, hanya 4 daripada 21 ketua bahagian UMNO Sabah menyokongnya, berdasarkan maklumat dalaman BN Sabah. Sementara itu 40 daripada 60 ADUN Sabah tidak menyokongnya.

Pada peringkat persekutuan, beliau telah kehilangan sokongan daripada naib-naib presiden UMNO dan Setiausahanya, Tengku Adnan.

“Sekiranya desas-desus ini benar, kita akan melihat sendiri perbalahan dalam UMNO Sabah yang sedang retak menanti pecah” kata penganalisis bebas politik Sabah.

– BP.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *