Lim Kit Siang: Sabah Harus Kembali Kepada Bahasa Inggeris, Fahami Sejarah


Lim Kit Siang berkata sekiranya diberikan autonomi dalam bidang pendidikan, Bahasa Inggeris harus dimartabatkan di Sabah sesuai dengan Perjanjian 20-Perkara


Penampang: Lim Kit Siang, tokoh veteran DAP, dalam blognya berkata bahawa sekiranya Sabah diberikan autonomi dalam bidang pendidikan, antara keutamaan yang perlu diberi tumpuan adalah usaha untuk meningkatkan mutu penguasaan Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di Sabah.

Katanya ini sejajar dengan asas penyertaan Sabah dalam Malaysia berhubung dengan perjanjian 20-perkara di mana perkara ke-2 dalam perjanjian itu menyebut bahawa Bahasa Inggeris harus digunakan sebagai bahasa rasmi Sabah tanpa mengira had masa.

Perjanjian tersebut mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Persekutuan.

Kit Siang menegaskan bahawa mutu pengunaan dan penguasaan Bahasa Inggeris di Sabah telah merudum dalam tempoh 52 tahun pembentukan Malaysia.

Selain itu, beliau juga menekankan kepentingan rakyat dan pelajar-pelajar Sabah untuk mendalami sejarah dan asal-usul wilayah ini.

“Sejarah Sabah seharusnya menjadi tumpuan utama untuk para pelajar Sabah, baik di peringkat sekolah rendah atau menegah, supaya mereka faham akan asal-usul dan sejarah Sabah,” tulisnya.

Beliau juga memberi cadangan sekiranya Putrajaya memberikan autonomi dan kebebasan kepada Sabah dalam bidang pendidikan, Kerajaan Negeri boleh memperuntukkan RM 1 Juta untuk rakyat Sabah menulis sendiri sejarah mereka. Ini boleh dijadikan buku teks sejarah di sekolah-sekolah, katanya.

“Dengan ini, generasi baru akan mengetahui sejarah Sabah dengan lebih mendalam seperti Perjanjian 20-Perkara, Batu Sumpah di Keningau, Tragedi “666”, petisyen pilihanraya di Likas, Suruhanjaya Siasatan Diraja¬†mengenai pendatang asing (RCI), pencerobohan Sulu di Kampung Tanduo, Lahda Datu dan Pantai Timur Sabah” ulasnya.

– BP.

Tell Us What you Think

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *